Search This Blog

Monday 19 September 2011

KEPENTINGAN MENGUASAI ILMU PELBAGAI BIDANG DALAM ERA GLOBALISASI


Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang memang penting dan perlu diberikan perhatian utama. Hal ini demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan ilmu atau pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan dengan bijaksana. Oleh itu, semua orang hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk kesejahteraan hidup seperti kata-kata hikmat, “Ilmu pelita hidup”. Jadi, semua orang khususnya para remaja hendaklah menggunakan masa ketika muda ini untuk mencari ilmu sebanyak mana yang mungkin. Dengan adanya ilmu, sudah tentu seseorang itu akan mendapat manfaat yang banyak terutamanya dalam era globalisasi ini.

Dengan adanya ilmu, seseorang itu boleh mencipta inovasi baru dalam pelbagai bidang kehidupan manusia hari ini. Ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada kehidupan seharian manusia. Sebagai buktinya, banyak inovasi baharu yang dicipta pada masa ini, contohnya telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai alat canggih yang lain. Hal ini sudah tentu memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam teknologi. Jadi, pada masa akan datang sudah pasti budaya yang mementingkan ilmu dalam pelbagai bidang akan menguasai budaya masyarakat.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai bidang perniagaan yang semakin kompleks dan bercorak global. Perkara ini demikian kerana, dalam era globallisasi, k-ekonomi merupakan trend baru dalam perniagaan. Jadi, ekonomi yang berasaskan pengetahuan sudah menguasai dunia perniagaan pada masa ini. Oleh itu, jika seseorang tidak dapat mengikut arus k-ekonomi ini, sudah pasti orang itu akan ketinggalan zaman iaitu, seperti katak di bawah tempurung dan pastinya akan gagal untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan pada masa ini.

Jika seseorang itu menguasai ilmu sudah pastilah dia akan dapat memajukan diri dan negaranya sendiri. Hal ini demikian kerana, negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan era globalisasi pada masa ini. Seseorang pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan rakyat dan negara. Jika pemimpin tidak dapat menguasai ilmu, sudah pastilah negara kita akan tertinggal di belakang negara-negara maju yang lain. Jadi, seperti kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, para pemimpin juga perlu menguasai pelbagai ilmu terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

Sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan masyarakat yang proaktif. Perkara ini demikian kerana, masyarakat yang berilmu sentiasa berfikir secara positif atau optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan mudah pula berputus asa. Sebagai contohnya, seseorang yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan masalah itu sebagai cabaran dan bukannya halangan untuk mencapai objekifnya. Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan budaya yang sentiasa dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat atau “life long learning” sebagai amalan dalam kehidupan.

Oleh itu, ungkapan orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia perlulah diberikan perhatian oleh semua orang. Dengan berdasarkan ungkapan itu, janganlah kita suka membuang masa kerana masa itu emas dan masa tidak akan menunggu kita. Sekiranya kita lalai dan tidak menggunakan masa dengan bijaksana, sudah tentu kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian. Jadi, gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang teknologi maklumat yang sentiasa berubah hampir setiap hari.

Thursday 15 September 2011

KEMERDEKAAN DALAM ERA GLOBALISASI

APA ITU GLOBALISASI
Satu proses untuk meletakkan dunia dibawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara.

APA ITU KEMERDEKAAN
Membebaskan diri daripada cengkaman kuasa seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah.

Setiap tahun rakyat Malysia akan menyambut Hari Kemerdekaan dan sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan berlangsung pada hari esok bersamaan dengan 16 September 2011 bersempena dengan Hari Malaysia. Namun persoalanya adakah kita benar-benar merdeka di era globalisasi ini...?

Secara umumnya, rakyat Malaysia hanya merdeka atas nama sahaja, tetapi tidak merdeka dalam pelbagai aspek, khususnya dalam era globalisasi ini. Sebagai contoh, rakyat Malaysia tersepit dengan pemikiran dan pandangan orang barat, rata-rata mereka yang mempunyai kelulusan yang tinggi takut untuk mengeluarkan idea dan hujah masing-masing khususnya di persada antarabangsa. Mereka hanya mampu mendengar dan mengikut sahaja.

Di samping itu, budaya turut menjadi persoalan dalam isu globaliasasi di negara yang sudah 54 tahun mengecapi kemerdekaan, sebagai contoh  budaya fesyen, bahasa dan hiburan. Rata-rata generasi kini tidak mahu melepaskan peluang untuk mengikut trend yang dibawa oleh orang eropah. Antara fesyen pakaian yang digemari diseluruh dunia adalah seperti seluar Jean Levis, Pierre Cardin dan Yves Saint Laurent. Sekiranya mereka tidak mengikuti fesyen seolah-olah mereka masih hidup dibawah tempurung. Rakyat Malaysia juga segan untuk mempertahankan pemakaian baju kurung untuk kehidupan seharian mereka, mereka hanya memakai baju kurung dan baju melayu apabila menyambut hari raya dan menghadiri majlis keramaian sahaja.

Benarkah Malaysia sudah merdeka sepenuhnya...? Selamat Hari Raya dan Selamat Menyambut Hari Malaysia....1 MALAYSIA TRANSFORMASI BERJAYA RAKYAT SEJAHTERA....




Wednesday 14 September 2011

Pengenalan Diri

Saya pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan pelajar tahun 3 dari Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran yang mengambil program Sains Pembangunan. Salah satu kursus yang saya ambil dalam semester ini adalah kursus Globalisasi dan Pembangunan Negara. Tujuan saya membuat blog ini adalah bertujuan untuk memenuhi kursus ini. Di samping itu, blog ini juga akan membincang dan mengupas tentang isu-isu yang berkaitan dengan globalisasi dan pembangunan negara.

Akhir kata, saya berharap anda semua memberi sokongan yang padu kepada saya dengan memberi pandangan dan pendapat tentang isu-isu yang berkaitan dengan globalisasi dan pembangunan negara di setiap ruangan yang disediakan dari semasa ke semasa. Sokongan anda amat saya hargai. Sekian terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...